fbpx

Dipetik dan diubahsuai dari : “Anim Agro Technology”

KELAPA merupakan sejenis tumbuhan pelbagai guna dari keluarga Palmae yang terdapat di lebih 90 negara tropika seluruh dunia. Terdapat seluas 11,715,502 hektar tanaman kelapa diseluruh dunia didahului dengan Indonesia, Filipina, India, Brazil, Sri Lanka, Thailand, Vietnam , Mexico, Papua NG dan Tanzania. Malaysia mendudukki tangga ke 11 dalam statistik bagi pengeluaran kelapa dunia tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 527,622 metrik tan. Kebanyakan kelapa yang ditanam di negara kita juga merupakan kelapa jenis lama varieti Malayan Tall tetapi kini telah banyak yang telah mula menukar kelapa jenis baru seperti Kelapa MATAG, Kelapa Pandan dan Kelapa MAWA.  Kawasan utama penanaman kelapa di Malaysia kebanyakannya di kawasan persisir pantai seperti di Perak, Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah. Kelapa merupakan tanaman pelnagai guna yang penting untuk masyarat kita bergantung kepadanya. Artikel petang sabtu ini sambil merenung pohon kelapa di Pantai Klebang, Melaka saya menulis dalam mengenai kegunaan kelapa sebagai menambah ilmu pengetahuan kita.

MINYAK KELAPA merupakan satu produk utama dari pokok kelapa semenjak dahulu lagi sebelum popularnya Minyak Kelapa Sawit. Minyak kelapa mempunyai lemak tepu yang tinggi iaitu sekitar 91% dan merupakan minyak sayur (Vegetable  oil)yang baik juga untuk kesihatan kita dengan penggunaan yang betul.  Kandungan Asid Lemak Tepu dalam minyak kelapa adalah seperti Asid Kaprilic (5.4%), Asid Kaprik (4.5%), Asid Laurik (44.1%), Asid Maristik (31%), Asid Palmitik (7.5%), Asid Stearik (1.0%) dan Asid Arakidik (0.2%).  Sementara itu kandungan asid lemak tidak tepu dalam minyak kelapa pula terdiri dari Asid Oleik (5%) dan Asid Linolik (1%). Minyak kelapa diperolehi dari isi kelapa yang menjalani proses daripada pengupasan buah kelapa, mengeluarkan isi kelapa, menjemur, mengasap dan memgisar serta perah minyak kelapa. Penghasilan Kelapa Kering atau Kopra (Copra) merupakan satu peringkat menghasilkan minyak kelapa. Industri menghasilkan minyak kelapa masih aktif di kebanyakan negara dan menjadi industri utama terutama dikawasan pulau-pulau di kawasan Asia Pasifik. Permintaan dan penggunaan minyak kelapa masih sangat signifikan dalam industri ini.

Minyak Kelapa Dara (Virgin Coconut Oil) adalah produk daripada fermentasi santan kelapa yang merupakan sangat baik untuk kesihatan kerana mengandungi asid laurik yang banyak. Ramai usahawan tempatan telah menghasilkan minyak kelapa dara yang dibimbing oleh Jabatan Pertanian, IADA, LPP, FELDA dan MARDI serta organisasi lain.  Santan Kelapa yang diambil daripada pokok kelapa dewasa dan di proses dan di tapis sehingga menghasilkan minyak kelapa dara berwarna jernih. Minyak kelapa dara diproses dengan dua kaedah iaitu Kaedah Kering dan Kaedah Basah. Kaedah Kering adalah dengan melibatkan proses perahan terus daripada kelapa tua yang diparut (kelapa tua yang dikeringkan lebih awal) dengan menggunakan mesih khas. Kaedah basah pula dengan dengan menggunakan santan yang diperah , di sejukbekukan, dipancing, diperam dan diasingkan diantara air dengan minyak VCO yang terhasil. Kaedah basah lebih banyak digunakan untuk menghasilkan VCO berkualiti tinggi dinegara kita. Harga pasaran tempatan minyak kelapa dara sekitar RM 20.00 satu botol (150 -250 ml) bergantung kepada lokasi.

Minyak Kelapa juga merupakan satu bahan asas yang penting untuk Industri kosmetik dan produk kesihatan. Banyak produk kosmetik berasaskan minyak kelapa yang di campur dengan bahan-bahan lain dijadikan sebagai krim pemutih kulit, agen pelembab kulit muka, produk pewarna kecantikan dan banyak lagi yang tidak dapat diterangkan. Minyak Rambut berasaskan minyak kelapa merupakan produk asli yang sejak sekian dulu digunakan untuk kesihatan rambut. Siapa tidak kenal Minak Rambut Cap ‘Aminah’ yang berwarna hijau dimana komponen utamanya adalah minyak kelapa dan daun Pegaga(Centella asiatica) yang dibuktikan mampu menghitamkan rambut sampai kita tua. Orang zaman sekarang jarang menggunakan minyak rambut jenis ini maka ramai rakan-rakan saya dan mula beruban sebelum pun mencapai umur 50 tahun. Minyak Urut kebanyakannya adalah menggunakan minyak kelapa sebagai bahan utama dicampur dengan ramuan-ramuan untuk minyak urut seperti serai, kayu  beraroma, tulang burung bubut, minyak gamat dan sebagainya. Minyak urut merupakan produk tradisional yang sememangnya ada dalam setiap keluarga.

Sekian sahaja perkongsian admin. Semoga bermanfaat kepada semua ya. Terima kasih!

Kredit diberi kepada “Anim Agro Technology”

Leave a comment